Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati punca kebakaran dipercayai bermula daripada percikan api sama ada daripada bateri kenderaan atau kejutan elektrik.

“Jumlah motosikal yang musnah dalam kebakaran itu kini meningkat kepada lebih 60 buah namun siasatan kita mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.51 pagi itu, lebih 65 buah motosikal musnah dalam kebakaran itu, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

“Sebanyak 40 buah motosikal musnah 100 peratus dan 28 buah motosikal musnah 50 peratus.

“Turut terlibat dalam kebakaran tersebut adalah empat buah kereta yang terkena bahang api daripada kebakaran tersebut,” katanya.

Menurut jurucakap tersebut, operasi memadam kebakaran itu tamat pada pukul 4 pagi. – UTUSAN ONLINE