Kejadian pada pukul 11.45 pagi itu membabitkan sebuah treler tanpa muatan dipandu lelaki berusia 36 tahun dan treler muatan plastik yang dipandu lelaki berusia 38 tahun.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu melainkan pemandu treler tanpa muatan itu hanya cedera ringan.

Kebakaran dua buah kenderaan berat itu mengakibatkan pengguna jalan raya terperangkap dalam kesesakan lebih lima jam apabila operasi memadam kebakaran dan membersihkan tumpahan minyak masih dijalankan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berlaku ketika treler muatan plastik itu berhenti di lorong kiri jalan kerana mengalami masalah enjin.

Katanya, sebuah treler tanpa muatan dari arah sama kemudiannya melanggar belakang kenderaan tersebut dan menyebabkan berlaku kebocoran minyak diesel pada treler berkenaan sebelum terbakar.

"Disebabkan api marak terlalu cepat, kebakaran pada treler tanpa muatan itu turut merebak ke treler yang membawa muatan plastik. Pelanggaran itu juga menyebabkan berlakunya tumpahan minyak.

"Operasi masih diteruskan untuk memadam kebakaran dan membersihkan kesan tumpahan minyak. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini," katanya.-UTUSAN ONLINE