Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, bapa mangsa yang baru terjaga daripada tidur mendapati anak bongsunya, Dhia Zara Mior Azmi terapung di kolam berkenaan.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku ketika mangsa dan bapanya sedang berehat di ruang tamu inap desa berkenaan, kira-kira pukul 11 pagi.

Difahamkan, mangsa sekeluarga yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan menyewa inap desa berkenaan sejak kelmarin bagi menghadiri sebuah kenduri keluarga mereka di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, sebaik sahaja menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri, bapanya menghubungi adik ipar untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, apabila ambulans tiba di lokasi kejadian, pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.

"Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada kecederaan mahupun sebarang unsur jenayah.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pula mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh lemas," katanya di sini, hari ini.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). - UTUSAN ONLINE