Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, kanak-kanak berusia tiga tahun berkenaan pada mulanya dirakam dijulang bapanya di atas bahu dan sedang berjalan menuju ke eskalator berkenaan.

Bagaimanapun selang beberapa minit kemudian, kanak-kanak itu terjatuh di tepi eskalator tingkat bawah sehingga menggemparkan beberapa pengunjung pusat beli-belah tersebut yang berada berdekatan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kanak-kanak berkenaan terlepas daripada julangan bapanya yang tiba-tiba tunduk kerana panik ketika menaiki eskalator tersebut.

“Bapa mangsa panik kerana mendapati tangan anaknya itu tersepit di celah getah pemegang eskalator berkenaan dan ketika tunduk, anaknya terjatuh ke paras bawah dari tingkat satu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mior Faridalathrash, kanak-kanak itu ketika ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang selepas mengalami pendarahan dalam kepala serta retak tempurung kepala.

Ujarnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.