Utusan Borneo melaporkan, dalam kejadian pada pukul 7.30 malam itu, mangsa, Damia Alyana Daniel Sham, mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kapit.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan sedang berjalan kaki untuk ke pasar malam bersama adiknya dan seorang lelaki warga Indonesia.

Bagaimanapun, menurutnya, tiba-tiba sebuah kereta merempuh mereka.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu terbabit dikatakan hendak keluar dari tempat letak kereta untuk keluar ke jalan utama tersilap menekan minyak yang disangka brek.

“Kereta tersbeut dipandu oleh seorang wanita berusia 28 tahun serta tidak mempunyai lesen memandu,” lapor Utusan Borneo hari ini.

Alexson berkata, bagaimanapun, adik mangsa dan seorang lagi pejalan kaki tidak mengalami kecederaan.

Katanya, polis telah mengambil keterangan pemandu terbabit dan turut dibawa ke hospital untuk diambil sampel darah bagi tujuan pemeriksaan dadah dan alkohol.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE