Dalam kejadian di Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila pada pukul 10 pagi ini, Mohd. Azam Razlan, 3, dikatakan memanjat ke dalam bahagian pengering mesin basuh tersebut seorang diri untuk bermain sebelum kakinya tersekat.

Ibu bapa mangsa hanya menyedari kejadian tersebut selepas mendengar jeritan lalu berusaha untuk mengeluarkannya sambil dibantu jiran mereka, namun gagal sebelum menghubungi pihak bomba.

Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat Sandakan, Anddre Andrew berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.43 pagi dan menghantar tujuh anggota ke lokasi.

“Anggota kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan mangsa dengan memotong sebahagian mesin tersebut.

“Tiada kecederaan serius terhadap mangsa, cuma beberapa lebam di bahagian kaki dan operasi tamat pada pukul 11 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, ibu bapa kanak-kanak terbabit hanya memaklumkan mangsa telah me­nerima rawatan, namun enggan mengulas lanjut.