Malah, ketika disapa, Mohd. Syaril yang mesra dengan panggilan Awe kelihatan teruja untuk pulang ke kampung halaman.

Menurut Zahidah Zainal Abidin, 30, ketika itu dia dan suami bersama anak menaiki motosikal untuk pergi ke rumah ibunya yang terletak di lorong hadapan kira-kira pukul 10 malam semalam.

Zahidah yang merupakan kakitangan awam berkata, pada masa tersebut, suaminya ada menegur Mohd. Syaril bertanyakan mahu pulang ke kampung berikutan sedang sibuk memasukkan beg ke dalam kenderaannya.

“Dia dengan ramah tersenyum sambil berkata mahu pulang ke kampung dan menyambut puasa di sana. Suami sempat meninggalkan pesanan dengan mengatakan berhati-hati memandu dan dia kelihatan gembira kerana mahu pulang ke kampung.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah terserempak dengan isterinya kerana di kawasan ini masing-masing bekerja. Saya memang terkejut dengan berita tentang kematian isteri dan anak bongsunya serta hanya mengetahuinya apabila wartawan datang ke rumah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Meru di sini hari ini.

Menceritakan lanjut, ibu kepada seorang anak itu menjelaskan, setiap petang, dua anak Mohd. Syaril akan datang ke rumahnya untuk bermain bersama-sama dengan anaknya.

“Kebiasaannya pada setiap petang, anak-anaknya akan datang untuk bermain dengan anak saya di hadapan rumah. Sekiranya pagar hadapan rumah terbuka, mereka akan masuk ke rumah untuk memanggil anak saya,” ujarnya.

Terdahulu, lima maut manakala tiga lagi cedera parah selepas sebuah kereta jenis Perodua Myvi bertembung dengan kereta Perodua Kancil di Kilometer 348 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di sini awal pagi ini.

Mangsa yang maut ialah dua beranak iaitu penumpang hadapan kereta Perodua Myvi, Hasliza Arini Muhamad @ Hamid, 34; dan penumpang belakang kenderaan itu, Muhammad Khalish Kautsar Mohd. Syaril, 2.

Selain itu turut maut dalam nahas kira-kira pukul 2.45 pagi itu ialah pemandu kereta jenis Perodua Kancil, Nasrul Fakhri Mansor, 38, dan dua penumpang perempuan kenderaan berkenaan termasuk bayi berusia setahun yang masih belum dikenal pasti identiti.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di kediaman Mohd. Syaril sunyi dan bertutup manakala Nasrul Fakhri yang dikatakan menetap di Pangsapuri Aman Perdana mendapati dia telah berpindah dari rumah tersebut sejak lima tahun lalu.-UTUSAN ONLINE