TAMPIN 13 Feb. - Jenazah Nur Afini Roslan, 14, yang maut akibat terkena bilah mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di sini selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Sungai Kelamah, Gemas malam ini.
Jenazah sebelum itu dibawa dari Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban selepas selesai proses bedah siasat dan dikebumikan pada pukul 10 malam.
Kira-kira 100 ahli keluarga, guru dan rakan sekolahnya hadir semasa upacara pengebumian tersebut.
Dalam kejadian pukul 10.30 pagi ini, Nur Afini meninggal dunia selepas terkena bilah mesin rumput yang tercabut dari sebuah traktor yang sedang memotong rumput di padang sekolah itu.
Dua pelajar lelaki berusia 14 dan 13 tahun masing-masing cedera di telinga kanan dan belakang kepala. - UTUSAN ONLINE