Malah, cuaca mendung menambahkan lagi kesuraman kira-kira 200 ahli keluarga dan sahabat handai yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada empat sekeluarga itu.

Jenazah pasangan suami isteri, Nizam Daud, 51, dan Nur Faizlin [email protected] Samsudin, 37, serta dua anak mereka Nur Naqiya, 6, dan Muhammad Niyaz, 2, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad kira-kira pukul 10.30 pagi.

Terdahulu, jasad keempat-empat beranak itu tiba di Surau Kampung Gemereh, di sini selepas dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Segamat kira-kira pukul 8.30 pagi.

Dalam kejadian pukul 1.40 petang semalam, kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dinaiki lima beranak itu dirempuh sebuah treler tanpa muatan dari arah bertentangan di Kilometer 176, Jalan Johor Bahru-Seremban berhampiran persimpangan Kampung Melayu Raya, di sini.

Insiden tersebut menyebabkan empat beranak itu maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi anak mereka, Muhammad Naqib, 9, parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Pasangan jurutera yang menetap di Telok Ramunia, Kota Tinggi itu dalam perjalanan pulang ke kampung halaman Allahyarham Nur Faizlin di Kampung Gemereh sempena cuti umum.

Sementara itu, ibu Nur Faiz­lin, Habibah Muhtar, 60, dan ibu Allahyarham Nizam, Mun Ahmad, 73, tidak sempat menahan sebak dan saling berpelukan antara satu sama lain di tanah perkuburan itu.