Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Gua Musang, Mo­hd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, hujan lebat sejak malam tadi menyebabkan paras air sungai naik dan jambatan ditutup kepada semua pengguna.

Katanya, sehingga kini jambatan tersebut masih ditutup dan orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif buat sementara waktu.

“Jambatan tersebut telah dipantau oleh pihak berkuasa dan penduduk kampung.

“Ketika ini hujan sudah reda, namun masih belum surut,“ katanya.

Seorang penduduk Kampung Kerinting, Mat Zain Che Amat, 55, berkata, jambatan tersebut kerap tenggelam terutamanya apabila berlaku hujan lebat beberapa jam.

“Sejak 30 tahun dahulu jambatan ini digunakan oleh penduduk kampung untuk melakukan urusan harian ke bandar Gua Musang.

“Pada pagi ini puluhan kenderaan terkandas dan terpaksa berpatah balik kerana jambatan sepanjang kira-kira 10 meter itu sudah tenggelam, “ katanya. - UTUSAN ONLINE