Dalam kejadian itu, mayat pesara tentera, Johari Bakar, 57, ditemukan pada pukul 9.56 pagi sementara anaknya, Nur Sari Danila , 14, pelajar Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Sungai Kob ditemukan pada pukul 7.45 pagi dalam Sungai Karangan yang terletak beberapa kilometer dari rumah mereka.

Bagaimanapun, isteri Johari, Che Yang Ton, 53, dan anak lelaki mereka, Azim Hazrin, 22, yang turut berada di lokasi ketika kejadian terselamat selepas berpaut pada sebatang pokok jambu dan tiang garaj ketika arus deras.

Menurut Che Yang, ketika kejadian mereka berempat berjalan menuju ke kereta yang terletak di tepi sungai itu untuk berpindah setelah rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat sejak pukul 11 malam.

“Kira-kira pukul 1 pagi arwah suami mengajak kami keluar menaiki kereta untuk menyelamatkan diri bagi mengelak terperangkap dalam banjir kilat itu.

“Ketika kejadian, kami tidak sempat masuk dalam kereta apabila arus deras tiba-tiba datang dan menghanyutkan kami.

“Semua berlaku dengan pantas. Saya sempat berpaut pada pokok jambu di hadapan rumah manakala Azim Hazrin dan Nur Sari Danila berpaut pada tiang garaj tetapi suami dihanyutkan air bersama keretanya. Arus bagaimanapun terlalu kuat dan Nur Sari Danila yang tidak mampu bertahan turut dihanyutkan,” katanya semasa ditemui di Unit Forensik Hospital Daerah Kulim.

Kata Che Yang, dia dan Azim Hazrin berjaya diselamatkan penduduk kampung pada kira-kira pukul 3 pagi. Saya kehilangan dua anggota keluarga dalam sekelip mata tetapi saya reda," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis daerah , Superintenden Ahmad Nasir Jaafar berkata, pihaknya mula menjalankan operasi mencari dan menyelamat pada kira-kira pukul 4 pagi selepas menerima laporan daripada penduduk.

“Operasi dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Sebaik ditemukan, mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.