Ani berkata, keluarganya masih berharap anak­nya, Absoi Kassim, 26, yang hilang dalam kejadian itu dapat ditemukan meskipun percaya perkara tersebut agak mustahil.

Katanya, sepanjang Ramadan ini, dia sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak­nya sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.

“Setiap malam saya mendoakan agar dia masih hidup dan diberikan kesejahteraan walaupun saya tahu perkara itu amat mustahil kerana sudah 126 hari berlalu.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Maritim Malaysia yang bekerja keras selama ini untuk operasi SAR walaupun tiada petunjuk positif yang diperoleh,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Dalam tragedi pada 28 Januari lalu, sebuah bot jenis katamaran yang membawa 28 pelancong dan tiga anak kapal karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum selepas berlepas dari Jeti Kampung Tanjung Aru di sini.

Seramai 26 mangsa dise­lamatkan oleh sebuah bot nelayan selepas lebih 48 jam terapung di kawasan perairan terbabit dengan empat daripadanya meninggal dunia.

Semalam, Pengarah Mari­tim Malaysia Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zubil Mat Som seperti dilaporkan berkata, operasi ditamatkan berikutan tiada penemuan baharu di kawasan perairan itu.

Katanya, sehingga hari ini, sebanyak lima mangsa masih gagal ditemukan.