Ketika kejadian pada pukul 6.55 pagi itu, Eeda Farina Mohd. Saleh, 30, yang berasal dari Ipoh, Perak disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, lori dipandu suami mangsa berada di belakang sebuah treler dan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan kenderaan itu.

“Suami mangsa dipercayai cedera ringan manakala bayi mereka berusia lapan bulan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Terdahulu sebuah treler dipandu suspek berusia 34 tahun dalam perjalanan ke ibu negara dari Seberang Perai dikatakan melanggar sebuah treler lain yang sedang bergerak di lorong kiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Bak Phai memberitahu, pemandu treler yang dilanggar mangsa itu dikatakan tidak memberhentikan kenderaannya selepas kejadian tersebut.

“Isteri kepada pemandu lori itu cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.

Jelasnya, kes tersebut masih disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE