Khabar angin yang mengatakan Nuriey Nadirah hidup semula itu tercetus selepas kanak-kanak berkenaan dikatakan tersedak dan bergerak ketika proses memandikan jenazah sebelum perkara tersebut tersebar luas di laman-laman sosial malam tadi.

Ekoran itu, ratusan penduduk mula memenuhi kediaman mangsa di Kampung Buaya, Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini bagi melihat kejadian yang dikatakan ‘ajaib’ itu, selain beberapa orang doktor dan pakar perubatan tradi­sional terpaksa dipanggil untuk membuat pengesahan me­ngenainya.

Ibu Nuriey Nadirah, Wan Nor Izatul Azwana Wan Mohammad, 28, yang cukup kesal de­ngan perkara itu berkata, khabar angin tersebut tidak benar, bagaima­napun dia mengakui anaknya kelihatan seolah-olah bergerak ketika proses memandikannya.

Katanya, situasi tersebut hanyalah disebabkan tindak balas otak yang disahkan oleh beberapa orang doktor ketika me­lakukan pemeriksaan terhadap Nuriey Nadirah malam tadi.

Jelasnya, penyebaran berita itu perlu dihentikan kerana perkara tersebut melibatkan sensitiviti keluarga, selain mengganggu emosi mereka.

“Saya harap orang ramai supaya berhenti daripada menyebarkan khabar angin, selain memadam gambar jenazah Nuriey Nadirah yang tersebar luas di laman-laman sosial.

“Kami reda dengan pemergian Nuriey Nadirah meskipun masih terkejut dengan kejadian tersebut,” katanya selepas pengebumian jenazah Nuriey Nadirah di Tanah Perkuburan Islam Che Latiff, Jalan Kuala Besar PCB di sini hari ini.

Jenazah Nuriey Nadirah selamat dikebumikan kira-kira pukul 9.45 pagi.

Lebih 100 orang termasuk ahli keluarga terdekat, saudara-mara dan pihak sekolah hadir pada pengebumian tersebut. Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan tersebut apabila Wan Nur Izatul dan suami­nya, Roslan Ghazali, 33, dilihat me­ngalirkan air mata selepas kehilangan puteri sulung kesayangan mereka untuk selama-lamanya.