Itu yang sebenarnya berlaku terhadap empat individu termasuk pasangan suami isteri warga Sepanyol yang ditemukan selamat pagi ini selepas dilaporkan hilang selama 10 hari di perairan Simpang Mengayau, Kudat dekat sini.

Kesemua mangsa iaitu David Hernandez Gasulla, 29, isterinya, Martha Miguel, 30, dari Sepanyol, Lam Wai Yin Tommy, 44, dari China dan wanita tempatan, Armella Ali Hassan, 23, ditemukan selepas kapal peronda KM Bistari milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah kapal nelayan warga Vietnam kira-kira 270 kilometer dari perairan Labuan kira-kira pukul 8.30 pagi.

Ekoran penahanan itu, membawa kepada maklumat mengenai keempat-empat mangsa terbabit berada di atas dua buah kapal nelayan Vietnam yang lain.

Sebelum ini, kehilangan mereka menimbulkan tanda tanya selain disangka diculik oleh kumpulan pengganas ketika pulang dari Pulau Balambangan ke Simpang Mengayau pada 2 Mei lalu.

Difahamkan, tekong dan awak-awak dua kapal nelayan Vietnam itu ‘menyimpan’ kesemua mangsa dan tidak menghubungi pihak berkuasa negara kerana bimbang akan ditangkap ekoran menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd. Zubil Mat Som berkata, sebaik sahaja ditahan anggota Maritim Malaysia yang menaiki KM Bistari, tekong kapal Vietnam terbabit telah menghubungi dua buah lagi kapal nelayan Vietnam yang ketika itu berada di persempadanan perairan Malaysia dan Vietnam.

“Ketika menghubungi rakannya, tekong terbabit ada menyebut nama Malaysia sebelum salah sebuah kapal nelayan yang dihubungi menyerahkan telefon radio satelit kepada seorang rakyat tempatan, Armella Ali Hassan.

“Armella kemudian memaklumkan melalui telefon radio satelit bahawa dia berada bersama Tommy di atas sebuah kapal nelayan warga Vietnam itu manakala pasangan suami isteri warga Sepanyol iaitu David dan Martha berada di atas kapal nelayan yang lain.

“Kita belum mengetahui punca sebenar kejadian itu sama ada mereka hanyut atau sebaliknya. Apa yang penting kesemua mereka selamat sampai ke Malaysia dan mendapatkan rawatan terlebih dahulu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Zubil memberitahu, berdasarkan rakaman percakapan dengan Armella, gadis itu memaklumkan kesemua mereka sihat dan selamat tetapi hanya mengalami kulit melecur akibat cuaca panas.

Menurutnya, jarak antara lokasi kehilangan mangsa dengan lokasi mereka berada iaitu di sempadan Malaysia-Vietnam adalah 450 kilometer manakala jarak lokasi kehilangan dengan salah sebuah kapal yang ditahan adalah 432 kilometer.

Ditanya mengapa kapal nelayan itu ‘menyimpan' mangsa dan tidak membenarkan mereka menggunakan telefon radio satelit, Mohd. Zubil tidak menolak kemungkinan kumpulan nelayan terbabit takut ditangkap akibat melakukan akti­viti menangkap ikan di perairan ini.

Beliau memberitahu, dalam rundingan pertama dengan dua buah kapal yang ‘menyimpan’ kesemua mangsa, mereka enggan berpatah balik ke perairan Malaysia dan meminta pasukan keselamatan menuntutnya di Vietnam.

“Pada mulanya, pihak kedutaan Vietnam enggan menye­rahkan keempat-empat mangsa. Bagaimanapun hasil rundingan pelbagai pihak termasuk Pusat Penyelaras dan Menyelamat Maritim (MRCC), pihak Vietnam akhirnya akur membenarkan kesemua mereka dituntut di perairan Vietnam iaitu di Pulau Amboyna Cay.

“Sehubungan itu, kapal KM Bistari dan dibantu oleh kapal KD Baung dari Tentera Laut Diraja Malaysia telah dikerah menuntut mangsa di Pulau Amboyna Cay. Setakat pukul 6 petang ini, kesemua mangsa telah selamat dipindahkan ke kapal KM Bistari serta dalam perjalanan ke Kota Kinabalu,” katanya.

Tambah Mohd. Zubil, kesemua mereka akan dibawa ke Kota Kinabalu dengan kapal KM Bistari atau menggunakan pesawat ringan bergantung kepada keadaan cuaca.