Kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Karak-Temerloh di Kampung Batu 7, di sini kira-kira pukul 9.14 pagi itu menyebabkan dua orang daripada keluarga berkenaan maut di tempat kejadian.

Mangsa yang maut adalah Khasrul Haizal Mohd. Yusof, 20, dan adiknya, Khasrul Ikhwan, 18, akibat cedera parah di kepala serta badan kerana tersepit di tempat duduk kenderaan.

Selain Proton Exora dinaiki lapan sekeluarga berkenaan, nahas itu turut melibatkan pacuan empat roda jenis Totota Hilux dan sebuah treler.

Pemandu Toyota Hilux, Chua Jyh Shyong, 37, dari Triang, Bera turut maut ditempat kejadian.

Pemandu Proton Exora, Mohd. Yusof Ghazali, 55, yang beralamat di Kampung Palimbayan Indah Sungai Penchala, Jalan Damansara, Kuala Lumpur cedera parah dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini.

Turut cedera isteri Mohd. Yusof, Norizan Md. Diah, 51, dan tiga lagi anak pasangan terbabit, Khasrul Hafiz Haqimie, 25, Khasrul Izwan, 18, dan Khasrul Hanif Hazirin, 23.

Menurut Khasrul Izwan, dia dan keluarga bertolak dari Kampung Sungai Penchala semalam bagi menghadiri program hari keluarga di Kampung Batu 4, Paya Pulai di sini.

“Ayah mengajak kami memancing di Empangan Klau bagi mengisi masa cuti sekolah yang berakhir hari ini.

“Kami bertolak dari Paya Pulai pukul 7.30 pagi singgah di Temerloh bagi membeli alatan memancing sebelum bertolak melalui jalan lama Jalan Kuantan- Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan bilik Forensik Hoshas di sini hari ini.

Khasrul Izwan berkata, sebelum kejadian, dia tidur kerana keletihan dan tersedar selepas kemalangan berlaku.

Menurutnya, dia keluar melalui pintu belakang kenderaan itu dan sempat melihat dua adiknya yang maut terkulai akibat tersepit.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zundin Mahmod berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian berlaku apabila treler yang membawa muatan kertas dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“Treler berkenaan merempuh Proton Exora dan Toyota Hilux hingga menyebabkan tiga lelaki maut akibat tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya yang memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.