Pengerusi Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata,pusat pemindahan lain seperti di Masjid Kuala Juru dan Dewan Kafa Kuala Juru di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) telah pun ditutup.

"Sebanyak 23 orang daripada empat keluarga masih menghuni pusat pemindahan sementara di Tanjung Tokong ini.

"Kesemua mereka kecuali seorang wanita warga emas dijangka pulang ke rumah masing-masing pada pukul 6 petang hari ini," katanya di sini hari ini.

Jumaat lalu, hampir semua kawasan di negeri ini dilanda ekor taufan Lekima sekitar pukul 10.30 malam dengan kelajuan 108 kilometer sejam.

Taufan tersebut berlaku di kawasan timur China sebelum garis badai itu bergerak ke arah tenggara dan mengenai kawasan utara Malaysia.

Selain Pulau Pinang, Langkawi, Perlis, dan Kedah turut terjejas.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 312 dari 340 batang pokok yang tumbang akibat ribut itu sudah selesai ditebang dan dialihkan.

"Usaha pembersihan ini melibatkan kira-kira 325 orang pekerja yang bertungkus lumus melakukan kerja kerja pembersihan khususnya di kawasan jalan raya.

"Sebanyak 42 kes pokok menghempap rumah dilaporkan setakat hari ini," katanya. - UTUSAN ONLINE