Bagaimanapun, hajat tersebut tidak kesampaian apabila dua anak perempuan pasangan suami isteri Lukman Waeni, 31, dan Hnan Ismail, 23, terkorban dalam nahas kira-kira pukul 11.15 pagi itu.

Weaam Lukman, lapan bulan dan kakaknya, Wedad, dua tahun tujuh bulan yang menaiki Proton Wira meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan dalaman dialami manakalanya ibunya dilaporkan parah.

Perkara itu diceritakan sepupu Hnan, Abdullah Mohd. Yusof, 25, yang menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 12.50 tengah hari sebelum bergegas ke hospital.

Katanya, suami isteri itu mengajar di Madrasah Tahfiz Azzahra (Mataz) Gelang Patah di Johor ingin pulang berhari raya di kampung halaman bersama dua anak perempuan.

“Suami Hnan berhenti seketika di bahu jalan kerana terlalu mengantuk untuk meneruskan perjalanan.

“Ketika saya maklumkan kepadanya bahawa kedua-dua anak perempuannya telah meninggal dunia, dia seakan tidak percaya dan terus menangis.

“Saya mintanya supaya bertenang dan reda dengan kehilangan tersebut selain memaklumkan bahawa isterinya juga dalam keadaan kritikal akibat kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini hari ini.

Abdullah yang merupakan seorang guru tahfiz di Kerteh berkata, keluarga kedua-dua pasangan itu yang menetap di Yala sedang dalam perjalanan ke sini.

Katanya, sepupunya itu berasal dari Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu namun keluarganya kini menetap di Yala.

“Saya dimaklumkan oleh pihak hospital urusan bedah siasat ke atas jenazah adik-beradik itu akan diselesaikan esok pagi.

“Saya tidak sempat berbual panjang dengan Lukman kerana dia masih trauma dengan kejadian yang berlaku,” katanya. - UTUSAN ONLINE