CATHERINE JANET TIWI
CATHERINE JANET TIWI

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.09 pagi membabitkan dua blok kuarters didiami lapan peng­huni itu, dua lagi guru wanita turut mengalami kecederaan akibat melecur semasa cuba menyelamatkan diri.

Mayat Catherine, 25, yang merupakan anak kepada seorang pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau di Kuching, dijumpai tinggal rangka dalam sebuah bilik di kuarters berkenaan.

Bapa mangsa, Tiwi Nios, 53, berkata, Catherine baru pulang ke Miri pada Jumaat lalu dari Ku­ching selepas melakukan urusan untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana di Kota Samarahan.

Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik dan baru dua tahun bertugas sebagai guru di SK Penghulu Baya Mallang itu memang berhasrat menyambung pengajian dan pernah menyatakannya kepada keluarga sebelum ini.

“Namun hasratnya tidak kesampaian,” katanya sambil memberitahu anaknya mendiami kuarters tersebut kerana sedang berkursus di SK Batu Bungan.

Ujarnya, anak perempuan tunggalnya itu sempat menghubungi ibunya dan bertanya khabar ahli keluarga sehari sebelum kejadian.

“Catherine ada menghubungi isteri saya pada pukul 6 petang semalam tetapi langsung tidak menunjukkan sikap yang pelik. Saya tidak sangka petang semalam merupakan perbualan terakhirnya dengan kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kebakaran itu pada pukul 5.30 pagi.

Walau bagaimanapun, jelas­nya, disebabkan lokasi kebakaran terletak jauh di pedalaman, maka pihaknya tidak dapat menghantar bantuan segera untuk menjalankan operasi menyelamat dan pemadaman.