Mangsa, Muhammad Izzhan Hadi Zainal Rashid, 31, yang tinggal di Taman Panchor Jaya dekat sini meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala dalam kemalangan kira-kira pukul 1 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintenden Ibrahim Mohd. Abdul Kadir berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Scooter dalam perjalanan dari Ayer Keroh, Melaka menghala ke sini.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas di tempat kejadian.

“Muhammad Izzhan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya di bawa ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Utusan difahamkan Muhammad Izzhan adalah pengadil ragbi di negeri ini dan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas dekat Rembau.

Dia dikatakan pergi ke Melaka untuk menziarahi keluarga seorang rakan yang kematian bapa, semalam. - UTUSAN ONLINE