Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, pemandu kereta yang merupakan penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Nor Fasmida Mohamad, 24, dikatakan hilang kawalan dengan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh bahagian depan sebelah kanan lori berkenaan.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi, pemandu lori berusia 25 tahun itu sempat membunyikan hon namun gagal mengelak sehingga dirempuh oleh kenderaan mangsa.

“Mangsa lain yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah kakak mangsa, Mimi Suziana, 39; adik mangsa, Ahmad Faris, 16; dan rakannya di IKBN, Nur Farah Farahainsah Jaafar, 21,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Azry, tiga beradik itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Kampung Keluat Beris, Kubur Besar, Bachok, Kelantan manakala rakannya, di Kampung Tok Sidi Meranti, Pasir Mas, Kelantan untuk sambutan Aidiladha.

“Siasatan awal mendapati mang­sa menyewa kenderaan tersebut untuk pulang ke kampung. Lori treler tanpa muatan itu dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dan pemandu serta penum­pangnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Tambah Azry, sebelum berlaku perlanggaran, pemandu lori mendakwa cuba memperlahankan kenderaan dan mengelak ke kiri bahu jalan.

“Pemandu akan menjalankan ujian saringan air kencing dan sampel darah bagi ujian toksikologi dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Peng­angkutan Jalan 1987,” katanya.