Dua mayat yang ditemukan oleh penduduk kampung tersebut kira-kira pukul 5.30 petang itu masing-masing seorang lelaki dan perempuan.

Mangsa lelaki yang ditemukan itu ialah Muhammad Hayat Romzi,19, dari Padang Terap, Kedah manakala identiti mangsa wanita tersebut masih belum diketahui.

Difahamkan Muhammad Hayat adalah seorang pelajar dari Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Jitra, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew berkata, pihaknya menemukan sebuah motosikal di dalam parit berdekatan mangsa selain kesan rempuhan di sebatang pokok berhampiran kawasan itu.

Katanya, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Kangar ke Alor Setar dan terbabas di kiri jalan sebelum merempuh pokok seterusnya terjunam ke dalam parit itu.

“Mayat yang ditemukan itu berada dalam keadaan kembung yang dipercayai meninggal dunia kira-kira seminggu lalu.

“Salah seorang mangsa dikenalpasti selepas kita menjumpai kad pengenalannya manakala seorang lagi masih belum diketahui identitinya,” katanya di sini hari ini.

Tambah Wari, pihaknya tidak menolak kemungkinan kes berkenaan mempunyai kaitan dengan kes orang hilang yang dilaporkan di Jitra dua hari lalu.

“Apa-apa pun siasatan lanjut masih diteruskan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Katanya lagi, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk proses bedah siasat.

Untuk rekod ribut yang melanda negeri ini berlaku pada Isnin lalu yang menyebabkan banyak kemalangan jalan raya termasuk mengorbankan lima nyawa seperti dilaporkan sebelum ini. - UTUSAN ONLINE