Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, kedua-dua mangsa maut apabila kereta jenis Proton Pesona dinaiki mereka bersama lima yang lain berlanggar dengan sebuah bas ekspres.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, kejadian berlaku semasa semua mangsa yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Port Dickson.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Persona itu cuba mengelak sebuah motosikal lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Kenderaan itu kemudian berpusing dan dilanggar sebuah bas ekspres. Seorang remaja perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki tercampak keluar dari kereta itu dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Norazam berkata, lima lagi mangsa yang menaiki kereta terbabit terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang bayi lelaki mengalami kecederaan.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini bagi menerima rawatan manakala semua 29 penumpang termasuk pemandu bas ekspres tidak cedera. - UTUSAN ONLINE