Dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah malam itu, mangsa yang maut ialah penunggang motosikal itu, A. Punizen, 25, dan pemboncengnya, T. Arunvarma, 17.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Berdasarkan siasatan, mereka yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125 dalam perjalanan dari arah Bandar Sungai Petani menghala ke Jalan Bakar Sampah.

“Kemalangan berlaku apabila tiba di tempat kejadian yang merupakan selekoh menuruni kawasan tinggi, mangsa hilang kawalan lalu jatuh dan tercampak ke pagar besi penghadang jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Adzli, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk proses bedah siasat.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE