Nahas pada pukul 3.10 petang itu mengorbankan Zulfaqar Khirul Nizam, 13, yang maut di tempat kejadian manakala Ahmad Zhafran Yunus, 22, meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kejadian berlaku ketika kereta dipandu lelaki berusia 22 tahun itu dalam perjalanan pulang setelah mengambil anak majikannya dari sekolah.

Katanya, semasa sampai di tempat kejadian, kenderaan dari arah Jelapang menghala Menglembu itu telah memotong kenderaan lain sebelum hilang kawalan dan berpusing memasuki lorong bertentangan lalu melanggar bahagian hadapan lori tersebut.

"Rempuhan itu menyebabkan remaja terbabit tersepit di dalam kenderaan dan mati di tempat kejadian. Mayat mangsa telah dikeluarkan oleh pasukan bomba manakala pemandu yang parah dibawa ke HRPB untuk rawatan kecemasan.

"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital tersebut pada pukul 3.50 petang. Pemandu lori berusia 44 tahun pula tidak cedera," katanya. - UTUSAN ONLINE