Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, mangsa, Alias Ibrahim, 44, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan pembonceng, Mohd. Indilpitri Mohd. Nor, 37, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Suzaimi Mohamed berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Volkswagen Golf yang dipandu lelaki berusia 25 tahun yang datang dari arah Gual Ipoh menghala ke Batang Merbau hilang kawalan lalu melanggar motosikal dari arah bertentangan.

“Ketika tiba di selekoh (tempat kejadian), kereta itu dipercayai menekan brek kecemasan kerana terkejut dengan sebuah kenderaan yang keluar dari simpang berdekatan sebelum hilang kawalan lalu masuk ke laluan motosikal.

“Kereta itu merempuh bahagian hadapan motosikal dan terbabas ke garaj rumah berdekatan. Akibatnya penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE