Mayat calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu, Nor Hafizatul Nabihah Mohd. Jaffar, 12, dari Kampung Rahmat ditemukan pasukan penyelamat kira-kira pukul 2.27 petang tadi manakala Nur Qumairah Qistina Mohammad Nizam, 12, dari Felda Chalok Rahmat pada pukul 4 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mangsa yang terselamat pula ialah Ain Najiha Abdul Rani dan Nur Aishah Syakirah Ishak yang kedua-duanya dari Kampung Rahmat.

“Insiden lemas di sungai kawasan tanah bencah ini merupakan kes kedua dalam masa dua bulan,” ujar beliau kepada pemberita.

Difahamkan, keempat-empat mangsa datang ke kawasan perkelahan itu bersama keluarga salah seorang daripada mangsa.

Katanya, seramai kira-kira 20 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Jertih, Besut dan Kuala Terengganu dikejarkan ke lokasi kejadian untuk usaha mencari dan menyelamat. - UTUSAN ONLINE