Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, wanita berusia 31 tahun tsempat memberhentikan keretanya di tepi jalan dan menarik keluar ibunya yang merupakan warga emas berusia 66 tahun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, wanita tersebut menyedari terdapat bau asap namun dia menyangka bau berkenaan datang dari kenderaan lain kerana baharu menyelenggara kereta Proton Persona dinaikinya semalam.

“Dia kemudian sedar bau tersebut datang dari keretanya dan ketika itu, api sudah pun marak di bahagian hadapan kenderaan berkenaan.

“Kedua-dua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Syed Shahril berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.50 tengah hari dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Sebanyak lapan anggota termasuk dua dari pasukan EMRS dikejarkan ke tempat kejadian dan kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya dalam masa tiga minit.

“Kejadian itu mengakibatkan kesesakan jalan raya sejauh dua kilometer,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE