Setiausaha Agung MRA, Dr. Shahrizal Azwan Samsudin berkata, kemalangan tersebut berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur berhampiran Bentong pada malam Jumaat lalu ketika beliau dalam perjalanan pulang beraya ke rumahnya di Bangi selepas tamat tugas di hospital berkenaan.

“Dalam kejadian tersebut, kenderaannya terbabas ketika cuba mengelakkan diri daripada dihimpit sebuah lori dari arah belakang.

“Beliau kini berada dalam keadaan kritikal dan terpaksa bergantung kepada mesin pernafasan selepas mengalami patah tulang kaki kanan dan patah tulang paha kiri selain mengalami kecederaan limpa dan paru-paru,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Katanya lagi, Zafri dijangka menjalani pembedahan membuang limpa dalam masa terdekat selepas proses memasukkan besi di bahagian kaki berjaya dilakukan.

MRA dalam kenyataan ber­kenaan turut merakamkan rasa dukacita atas kemalangan yang menimpa Zafri yang juga merupakan pakar pediatrik di hopital berkenaan.

Katanya, Zafri adalah seorang pakar kanak-kanak yang aktif dan sangat komited dalam misi bantuan kemanusiaan dan se­ring menyertai pelbagai program di dalam dan luar negara bersama MRA.

Terbaharu, beliau bertugas di Hospital Lapangan Malaysia di Cox Bazar, Bangladesh anjuran Kementerian Kesihatan bagi me­rawat dan memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Ro­hingya.

Orang ramai yang ingin me­nyum­bang kepada keluarga beliau boleh menghantarkan sumbangan ke akaun isterinya, Ani Norita Muhamad Samudi menerusi akaun Maybank 112027939953.