Dalam kejadian kira-kira pu­kul 5 pagi itu, pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, dan penumpang wanita, Munzirah Jalaludin, 20, maut manakala 35 lagi penumpang cedera terma­suk tiga daripadanya parah.

Seorang penumpang bas eks­pres terbabit, Wan Mohd. Amir Erfan Wan Amin, 19, berkata, ketika kejadian dia tidur dan menyedari kemalangan itu setelah mendengar bunyi dentuman kuat serta jeritan penumpang lain.

Pelajar Diploma Bangunan da­ri Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar itu berkata, dia yang duduk di tingkat atas bas dua tingkat tersebut cuba ba­ngun namun gagal apabila kaki kanannya tersepit antara kerusi­nya dan kerusi hadapan.

“Semasa kejadian, ramai penumpang tidur dan hentaman tersebut menyebabkan sebahagian mereka jatuh terhumban ke hadapan termasuk saya.

“Ketika itu keadaan sangat pa­nik kerana bongkah batu serta habuk banyak di dalam bas. Saya cuba mengeluarkan kaki sendiri dan keluar melalui pintu kecemasan,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Batu Gajah di sini hari ini.

Seorang lagi penumpang, Mohammad Syamim Zikri Mat Zaki, 18, berkata, dia yang tersedar da­ripada tidur terkejut melihat terdapat serpihan batu besar di sebelahnya dan tidak mampu bergerak kerana tangan kanannya patah.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Tan Boon Hooi berkata, bas tersebut dinaiki 38 penumpang yang sebahagian besarnya terdiri daripada pelajar UiTM Seri Iskandar dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Lumut.

“Kemalangan berlaku setelah bas dipandu lelaki berusia 31 tahun itu hilang kawalan lalu terba­bas melanggar batu pembahagi tengah jalan hingga menyebabkan bongkah batu terpelanting masuk ke dalam bas.

“Dua daripada tiga yang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi pemandu bas tidak cedera,” katanya.

Menurut beliau, semakan terhadap pemandu itu mendapati mempunyai dua rekod lampau bersabit kes lalu lintas dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.