Kira-kira pukul 7 pagi, mayat Sujai Jaraee,72 ditemukan terapung di tepi bot ekspres di jeti berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Gabriel Risut, mayat mangsa tersebut telah dikeluarkan dari sungai dengan dibantu pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi serta orang kampung.

Katanya, mangsa pertama itu telah dibawa ke Hospital Marudi untuk siasatan lanjut.

"Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan seawal pukul 8 pagi tadi melibatkan pasukan polis, bomba dan orang kampung.

"Usaha mengesan dua lagi cucunya iaitu Mohd. Zafril Wasli, 13 dan Mohd. Alyee Ong Zulkifli, 14, sedang berjalan," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, menurut anak mangsa, bapanya membawa keluar dua cucu untuk memancing di hadapan jeti Sungai Baram pada pukul 5.50 pagi. - UTUSAN ONLINE