Laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan, jerebu mula melanda negeri ini dengan bahagian Mukah mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara tidak sihat iaitu 137 setakat pukul 4 petang ini.

Sementara itu, lain-lain bahagian turut didapati mula dilanda jerebu termasuk Kuching, namun tahap IPU masih lagi mencatatkan paras sederhana.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM negeri melaporkan, sebanyak 163 kes kebakaran belukar, lalang, hutan dan tanah gambut dilaporkan di seluruh negeri ini sejak Jumaat lalu sehingga hari ini.

Kebakaran tersebut menyebabkan pihak bomba terpaksa bertungkus-lumus memadam kebakaran yang memusnahkan lebih 189.7 hektar kawasan setakat ini.

Menurut laporan tersebut, semalam sahaja, sebanyak 26 kes kebakaran membabitkan hutan dilaporkan dengan Sungai Merah di Sibu dan Lopeng, Miri masing-masing mencatatkan kes tertinggi iaitu 4 kes, diikuti 3 kes di Miri, masing-masing 2 kes di Petra Jaya dan Batu Lintang di Kuching, Lundu, Sri Aman, bandar Sibu serta Mukah.

Sementara itu, Kota Samarahan, Bintangor dan Bintulu pula masing-masing mencatatkan 1 kes. – UTUSAN ONLINE