Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam nahas pukul 8.20 malam, mangsa, Supami Rajimin, 60, dari Taman Desa Aman, Bedong meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Kemalangan berlaku semasa mangsa dikatakan menukar haluan motosikal jenis Honda EX5 ditunggangnya ke sebelah kanan jalan secara tiba-tiba, dipercayai untuk memasuki satu jalan pintas di situ.

“Pemandu sebuah kereta berusia 35 tahun dari Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang dari arah belakang gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, sebelum itu, berdasarkan siasatan awal, kedua-duanya dari arah Sungai Lalang menuju ke arah Bukit Selambau di sini.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE