Ketika kejadian, mangsa yang berusia sembilan tahun dikatakan membonceng jet ski yang ditunggangi seorang tenaga pengajar berkaitan manakala ibunya pula menaiki jet ski berasingan secara bersendirian yang kedua-duanya disewa daripada sebuah syarikat pengendali sukan air di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, tidak lama selepas itu, angin kuat muncul secara tiba-tiba hingga menyebabkan jet ski yang dinaiki mangsa hilang kawalan sebelum meluncur laju dan terus melanggar serta bergesel dengan jet ski ibunya.

Katanya, ekoran perlanggaran tersebut, kanak-kanak malang itu telah terjatuh ke dalam laut sebelum ahli keluarganya membawa mangsa ke tepi kolam renang di Hotel Hard Rock di sini dalam keadaan tidak sedarkan diri untuk memberikan rawatan kecemasan.

“Mangsa bagaimanapun telah disahkan meninggal dunia oleh seorang pembantu pegawai perubatan daripada Hospital Pulau Pinang yang tiba bersama sebuah ambulans tidak lama selepas itu,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Anuar, hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira pukul 11 malam tadi mendapati, kematian mangsa dipercayai berpunca akibat kecederaan otak dan saraf tunjang pada tulang belakang disebabkan kesan hentakan oleh benda tumpul.

Difahamkan, mangsa dan keluarganya dari Petaling Jaya, Selangor yang sedang bercuti telah mendaftar masuk ke Hotel Hard Rock di Batu Feringghi kira-kira pukul 12 tengah hari semalam dan sepatutnya mendaftar keluar esok. -UTUSAN ONLINE