Sumber keselamatan memberitahu Utusan Malaysia, se­rangan itu dikatakan sebagai reaksi tindak balas pejuang pemisah apabila pihak peme­rintah meningkatkan tekanan de­ngan menangkap beberapa anggota BRN.

“Kita tidak menolak kemungkinan ini ada kena me­ngena dengan pilihan raya negara tersebut tetapi berda­sarkan siasatan yang dijalankan kejadian itu lebih daripada rasa tidak puas hati BRN terhadap tentera Thailand yang meningkatkan kawalan dan me­nangkap beberapa anggota sejak kebelakangan ini.

“Pihak keselamatan di negara ini akan meningkatkan kawalan bagi memastikan tidak ada anggota BRN yang lolos ke ne­geri dan kawalan di sempadan khususnya di sepanjang Sungai Golok ditingkatkan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk di Kampung Simpangan di sini masih trauma dengan kejadian tersebut kerana gegaran daripada letupan tersebut amat kuat sehingga merosakkan kira-kira 10 buah rumah di tebing Sungai Golok itu. Ini merupakan letupan kali pertama yang berlaku di tebing sungai itu sejak pergolakan berlaku di Selatan Thailand.

Seorang penduduk, Kama­ruzaman Abdul Manaf, 37, berkata, adiknya yang sedang memancing di sungai belakang rumah mereka tidak mampu bergerak kerana dikejutkan dengan bunyi tembakan yang kuat.

“Saya memanggil dia naik ke atas rumah. Dia tidak dapat bergerak. Dia diam di situ. Kami bimbang ada peluru sesat ke sini kerana bunyi tembakan itu daripada senjata berat. Selepas beberapa ketika dia me­rangkak naik ke atas rumah.

“Selepas beberapa minit tembakan itu berhenti. Kemudian, bunyi letupan yang amat kuat. Serpihannya terkena pa­da rumah saya. Pintu dan beberapa tingkap pecah. Bunyi seperti sesuatu jatuh atas bumbung.

“Sebatang handel motosikal jatuh berhampiran rumah saya yang terletak setentang de­ngan pos kawalan itu. Mungkin bom itu diletakkan dalam motosikal. Polis telah mengambil handel motosikal itu," katanya.

Sementara itu, Hazbullah Mat Ail, 26, berkata, letupan kuat itu telah menyebabkan lebih 10 keping siling di kedai ibunya runtuh dan rosak.

“Selepas mendengar bunyi tembakan saya dan dua saudara keluar dari rumah. Kami duduk atas pondok di belakang rumah di tebing sungai Golok. Kami mendengar dan melihat tembakan itu serta satu letupan, mungkin bom tangan. Selepas itu senyap. Lima minit kemudian, bunyi letupan yang amat kuat,” katanya.