Mayat Mohd. Khairuddin Ahmad, 34, yang juga Ketua Lajnah Tarbiah Pemuda Pas Padang Terap ditemukan oleh orang awam kira-kira pukul 4 petang.

Menurut rakannya, Abdul Jalil Abdul Majid, 63, isteri mangsa memberitahu Allahyarham keluar memukat sejak pukul 9 pagi ini dan hanya ditemukan lemas kira-kira tujuh jam kemudian.

“Minggu lalu arwah beritahu dapat memukat ikan besar di kawasan tali air itu dan mungkin hari ini dia mahu memukat lagi di sana. Tetapi, kali terakhir saya bertemunya pada solat Jumaat lalu dan arwah sebak ketika membacakan khutbah mengenai penindasan umat Islam di Palestin,” katanya ketika ditemui hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.

Sementara itu, Ketua Pemuda Pas Padang Terap, Nurul Amin Hamid dalam satu kenyataan berkata, pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang amat dirasai oleh mereka kerana istiqamah dan komitmennya dalam perjuangan Islam.

“Allahyarham merupakan Ketua Penerangan pada sesi lalu dan Ketua Lajnah Tarbiah pada sesi ini dalam Dewan Pemuda Pas Padang Terap dan juga Pengerusi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al A’la Kampung Kubang Palas,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE