Pengerusi MIC Johor, R. Vidyananthan berkata, kejadian itu menyebabkan MIC negeri kehilangan dua bekas pemimpin termasuk bekas Penolong Setiausaha MIC negeri K. Ramachandran.

“Tan Sri (Balakrishnan) merupakan seorang pemimpin yang baik dan saya merasa bertuah pernah bekerja di bawahnya sebagai setiausaha ketika beliau menjawat jawatan Pengerusi MIC negeri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isteri Ramachandran, G. Manomani, 44, berkata suaminya tidak memberikan apa-apa petanda sebelum pemergiannya.

“Sehari sebelum kejadian, kami ada berhubung melalui telefon ketika beliau berada di sana, perbualan kami bia­sa dan dia bercakap baik dengan saya. Kira-kira pukul 12 tengah malam, saya te­rima panggilan memberitahu suami kemalangan,” katanya.

Balakrishnan dan Ramachandran, 51, serta dua yang lain iaitu G. Ravi, 55, dan A. Ragu, 47, dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru selepas mengha­diri upacara pengebumian bapa mentua seorang rakan mereka di Melaka apabila kemalangan berlaku.

Tiba di tempat kejadian, Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh sebuah lori kontena yang terbabas ke laluan bertentangan setelah melanggar besi pembahagi jalan.

Pemandu Toyota Vellfire, V. Vishnukumar, 44, cedera di bahagian dada manakala dua lagi penumpang tidak cedera.

Ketua Polis daerah, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, sebuah kereta lain kemudian merempuh Toyota Vellfire berkenaan.

Katanya, kesemua mayat dibawa ke Hospital Kulai untuk bedah siasat.