Dalam kemalangan kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia ialah dua wanita, iaitu Lim Siew Kee, 61, dan Lai Moon Ching, 25, manakala seorang lagi penumpang lelaki yang maut masih belum diketahui identitinya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, bas dari Kuala Lumpur menuju ke Singapura itu dipercayai bergesel dan merempuh bahagian tepi sebelah kanan treler tersebut sehingga menyebabkan separuh bahagian bas rosak teruk.

“Akibat kemalangan itu, tiga penumpang bas tercampak keluar menyebabkan seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi penumpang meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

“Mangsa yang cedera seramai 17 orang pula telah dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Zaharudin berkata, pemandu bas berusia 54 tahun yang cedera ringan turut dirawat di HSNI, manakala 10 lagi penumpang bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. - UTUSAN ONLINE