Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang memandu kereta Honda City dari arah pusat bandar ditemukan rentung 100 peratus di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, hasil siasatan awal, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan.

“Berikutan itu, menyebabkan kereta mangsa melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke lorong kanan menghala ke Kuchai Lama.

“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan terbakar sepenuhnya dan mangsa yang tidak berjaya menyelamatkan diri mati ren­tung,” katanya di sini hari ini.

Tambah Zulkefly, berdasarkan semakan ke atas kenderaan ter­babit, kereta itu telah didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 27 tahun yang tinggal di Serendah, Selangor.

“Bapa kepada pemilik kereta berkenaan telah dimaklumkan mengenai kejadian dan hadir ke forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk melakukan pengecaman.

“Bagaimanapun dia tidak dapat mengenal pasti mangsa ke­rana keseluruhan badan mangsa telah hangus terbakar dan hanya mengecam rantai yang dipakai mangsa adalah milik anaknya,” ujarnya.

Sehubungan itu Zulkefly menambah, bedah siasat akan dijalankan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan diambil sebelum dihantar ke Jabatan Ki­mia untuk dianalisis.

“Siasatan lanjut akan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.