Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussein Onn, Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu menerusi pesanan aplikasi WhatsApp serta status dimuat naik mangsa di Facebook kira-kira pukul 7.30 malam, semalam.

“Sebanyak 20 pegawai dan anggota dari BBP Tun Hussein Onn dan BBP Kajang serta pasukan bomba sukarela dari Gombak, Taman Sri Serdang dan Kepong dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Hasil maklumat daripada penduduk, lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak berusia setahun dan lelaki warga emas berusia 60-an berjaya diselamatkan menggunakan bot sebelum ditempatkan di pusat pemindahan di Balai Raya Batu 10,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Mohamad Akmal, sebanyak 60 penduduk terdiri daripada 19 keluarga terpaksa ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di Balai Raya Batu 10 dan juga Sekolah Kebangsaan Sungai Serai.

Tambahnya, pasukan bomba sukarela turut menyalurkan makanan dan minuman kepada penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan itu selain memantau keadaan paras air di kawasan berkenaan. - UTUSAN ONLINE