Menurut Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Left. Kol. (PA) Che Adam Abd. Rahman, mereka yang tinggal di kawasan berisiko dilanda banjir perlu sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan.

Beliau yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu berkata, kejadian luar jangka kemungkinan berlaku pada minggu pertama atau kedua Januari ini khususnya di kawasan yang mengalami fenomena air pasang besar.

"Kalau ikut laporan Jabatan Metereologi Malaysia, diramalkan keadaan cuaca Terengganu baik sehingga akhir bulan ini (Disember) tapi sebarang kemungkinan di luar jangka boleh berlaku pada minggu pertama atau kedua bulan depan.

"Ia juga bergantung kepada keadaan hujan dan kalau tak lebat, banjir tak mungkin berlaku pada masa itu," katanya dalam majlis penyerahan Kit Bantuan Banjir Repsol di sini hari ini.

Yang turut hadir, Perunding Kanan Perhubungan Luar dan Komunikasi Repsol Malaysia, Norshilawati Othman.

Beliau seterusnya memberi jaminan pihaknya bersedia mengagihkan sebanyak 50 kit bantuan banjir berkenaan kepada mangsa-mangsa banjir yang layak menerima bantuan itu.

"Untuk peringkat awal, kita akan agihkan kit bantuan banjir ini hanya kepada mereka yang layak memandangkan jumlah yang kita terima sangat terhad," katanya. - UTUSAN ONLINE