Bagaimanapun dalam kejadian yang  bermula kira-kira  8.30 malam itu, kesemua 11 pelajar perempuan kalangan anak yatim dan seorang guru tidak berada dalam asrama tersebut kerana sedang mengikuti kelas hafazan al- Quran dibangunan bersebelahan.

Kebakaran menyebabkan separuh daripada premis milik Pertubuhan Cakna Anak Yatim Kemaman (Cakna) itu musnah bersama kemudahan pengiapan dan peralatan peribadi pelajar,

Menurut pengetua pusat tahfiz tersebut,  Abdul Latif Abdul Kadir, 50, ketika ditemui berkata, ketika kejadian kesemua pelajar yang berusia lingkungan 9 hingga 15 tahun itu berada di dalam bangunan bersebelahan.

“Salah seorang pelajar yang hendak mengambil wuduk terlihat  api  melalui tingkap asrama dan semua pelajar kemudiannya bergegas keluar keluar dari bangunan,” ujarnya.

Ekoran kejadian itu, para pelajar dibenarkan pulang ke kampung masing-masing kerana banyak kerja baik pulih  perlu untuk menyediakan semula kemudahan asrama di samping dapat menghilangkan rasa trauma mereka.

Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM ) Negeri Terengganu, Azmi Ab Rahim ketika ditemui pula berkata, operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.12 malam.

“Unit Forensik Kebakaran akan melakukan  siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar  kebakaran tersebut, “ katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri , Hanafiah Mat  berkata, bagi membantu meringankan beban mangsa, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan segera berupa tilam, selimut, tuala, tikar dan lain-lain keperluan.

“Saya juga sudah bincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) agar menghulurkan sedikit bantuan untuk membaiki rumah yang menjadi asrama ini,” ujarnya yang turut meninjau kesan kebakaran. - UTUSAN ONLINE