Beliau yang enggan dikenali ketika ditemui pemberita di perkarangan unit forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) berkata, kali terakhir berjumpa dengan anak saudaranya itu adalah sekitar Disember lepas.

"Arwah ini juga cucu saudara Rabuan Pit (bekas atlet olahraga) dan difahamkan insiden tersebut berlaku ketika anak saudaranya itu sedang menjalani latihan kawad di padang sekolah, sempena hari sukan sekolah yang akan berlangsung esok.

"Arwah dan adik-beradiknya yang lain sangat aktif bersukan dan pernah mewakili Pahang dalam sukan memanah. Walaupun sudah berpindah sekolah dari Kuantan, Pahang ke Gemas awal tahun ini, dia masih aktif dengan sukan itu malah kini bapanya sendiri yang menjadi jurulatih," katanya.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, Nur Afini, anak keempat daripada lima beradik maut, manakala dua cedera iaitu Abdullah Hazlan, 14, pelajar Tingkatan Dua dan Mohd. Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pelajar Tingkatan Satu sekolah itu.

Beliau yang menetap di Klang, Selangor berkata, di Gemas, arwah tinggal bersama bapanya manakala ibu dan empat lagi adik-beradiknya masih menetap di Kuantan.

Sementara itu, bapa mangsa Roslan Samad, 55, ketika ditemui berkata, beliau reda dengan pemergian anaknya dan berharap kejadian malang yang menimpa anaknya itu tidak akan berulang lagi. - BERNAMA