Dalam kejadian pukul 6.45 pagi itu, mangsa, Nor Azali Saadon, 34, yang bertugas di Balai Polis Alor Setar, Kedah, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah.

Menurut Ketua Polis daerah, Superintenden Wari Kiew, mangsa yang berasal dari Kampung Ujong Bukit, Bintong dikatakan dalam perjalanan menunggang motosikal dari arah Kangar menghala ke Alor Setar.

Katanya, namun setibanya di lokasi kejadian, sebuah kereta yang dipandu seorang mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berusia 22 tahun disyaki telah memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal mangsa.

“Kejadian berlaku di jalan dua hala dan lurus dengan garisan putus-putus pembahagi jalan. Pemandu kereta walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan tetapi ditahan sementara untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kata Wari, siasatan di lokasi kejadian mendapati motosikal tersebut remuk manakala kereta itu pula mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat,” katanya. - UTUSAN ONLINE