Mangsa, Mohamad Sahaddam Roslan, 21, yang bertugas di Balai Polis Batu Pahat dalam perjalanan ke tempat kerja bagi menyertai satu operasi bersepadu yang sepatutnya bermula pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi ini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa mengalami kecederaan parah serta masih belum sedarkan diri dan pemandu kereta berusia 26 tahun itu ditahan sementara bagi menjalani ujian sampel darah dan air kencing.

“Ketika tiba di tempat kejadian kereta dari arah bertentangan telah memotong kenderaan di hadapan tetapi tidak lepas, kemudian hilang kawalan dan  berpusing lalu bertembung dengan motosikal ditunggang mangsa dan siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku atas kecuaian pemandu yang memotong kenderaan di hadapan sehingga melebihi garisan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sementara itu, Abdul Wahib berkata, di Kilometer 75.7 arah selatan berdekatan Ayer Hitam, seorang penunggang motosikal yang belum diketahui identiti maut kerana diseret sebuah kereta sejauh 100 meter dalam kemalangan pukul 1.45 pagi ini.

“Siasatan awal mendapati mangsa terbaring di tengah jalan lorong sebelah kanan tetapi dia tidak pasti sama ada mangsa terlibat kemalangan dengan kenderaan lain atau terbabas sendiri sebelum diseret sebuah kereta dari arah sama.

“Pada masa sama, seorang lagi lelaki berusia 31 tahun yang cuba membantu, cedera parah akibat dilanggar sebuah kereta lain yang terbabas ekoran melanggar motosikal mangsa di tempat kejadian,” katanya. - UTUSAN ONLINE