Menurut kenyataan unit itu, ban ataupun benteng di pesisir pantai adalah kukuh dan berada dalam keadaan baik selain tiada berlaku rebakan berskala besar.

Bagaimanapun, ban kedua di Sungai Air Tawar, Sabak Bernam hampir rebak dan putus namun lokasi berisiko dinaiki air tidak melibatkan kawasan penempatan.

“Pihak Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengambil tindakan menutup pembetung air daripada masuk ke kawasan kampung. Keadaan adalah selamat dan terkawal,” menurut kenyataan berkenaan.

Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang diramal bermula semalam hingga esok di pesisiran pantai negeri Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

Kenyataan itu turut menyebut kemuncak air pasang di pesisiran pantai negeri Selangor dicatatkan di Pelabuhan Klang pada kadar 5.5 meter kira-kira pukul 7.06 pagi, namun keadaan masih terkawal.- BERNAMA