Muhammad Afiq Hafizul Amri
Muhammad Afiq Hafizul Amri

Mangsa, Muhammad Afiq Hafizul Amri ditemukan oleh nenek saudaranya berhampiran tebing kolam sedalam satu meter itu kira-kira pukul 10 pagi.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan hilang secara tiba-tiba ketika ibunya sedang menyapu sampah di pekarangan rumah mereka.

Nenek mangsa, Rohaizam Awang, 53, berkata, sebelum kejadian, cucu sulungnya yang dipanggil Abe Fiq itu ada bersama ibunya, Farah Farhana Mohamad, 26, di kawasan depan rumah.

“Selepas itu, Abe Fiq tiba-tiba sudah tidak ada di kawasan tersebut. Pada awalnya, ibu kanak-kanak itu menyangkakan Abe Fiq berada bersama ayahnya di belakang rumah.

“Namun sangkaan ibunya itu meleset kerana Abe Fiq tidak bersama ayahnya. Mereka yang cemas dengan kejadian itu kemudian bersama mencari Abe Fiq di sekitar rumah sebelum ditemukan di kolam tersebut.

“Cucu saya tidak pernah bermain di kolam tersebut kerana sudah menjadi kebiasaan, dia memang bermain di hadapan rumah bersama sepupunya yang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Sementara itu, nenek saudara mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, naluri hatinya bahawa Abe Fiq berada di kawasan kolam tersebut sememangnya tepat apabila dia akhir­nya menemukan kanak-kanak itu.

Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong itu memberitahu, dia kemudiannya terjun ke dalam kolam ikan berkenaan dengan harapan cucu saudaranya itu masih boleh diselamatkan.

“Saya terus mendapatkan Abe Fiq yang ketika itu berada kurang semeter sahaja dari tebing kolam tersebut. Walaupun tidak tahu berenang namun saya berusaha menyelamatkan Abe Fiq yang ketika itu sudah tidak bernyawa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ke­tua Polis Daerah, Superintenden Setapa Yusoff ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.