Luahan pilu sambil diiringi tangisan berulang kali diucapkan Nordiana Alwani Jaafar, 33, ketika bertemu keluarga penyelamat mereka Abdul Bari Asyraf Mohd., 31, di pekarangan bilik mayat, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Katanya, mereka sekeluarga hanya mengetahui tentang tragedi lemas itu semalam, justeru berhasrat untuk bertemu waris pemuda berkenaan bagi mengucapkan terima kasih di samping memohon maaf atas apa yang berlaku.

Menurut Nordiana Alwani, Allahyarham Abdul Bari Asyraf merupakan orang pertama terjun untuk menyelamatkan mereka berlima yang terperangkap dalam kenderaan akibat terjunam ke dalam Sungai Terengganu di Pulau Warisan malam kelmarin.

Katanya, Abdul Bari Asyraf membawanya dan anak Iman Nur Hana Luthfia Mohd. Amiruddin, 3, ke tebing selepas mereka berjaya keluar dari kereta sebelum terjun semula bagi menyelamatkan yang lain.

“Dia datang dekat kami dan kemudian panggil orang lain suruh tolong. Masa itu air sudah separas pinggang dan kami hampir tenggelam.

“Mulanya saya dan anak diselamatkan orang lain tetapi sebab lelaki itu kejang otot, jadi arwah ambil alih tugas bawa kami ke darat dan kemudian dia terjun sekali lagi untuk bantu lelaki itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.