Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai sebuah bot nelayan tempatan mengalami kebocoran dan hampir karam di lokasi tidak dikenal pasti di perairan Sedili Kecil pada 12.15 tengah hari.

"Bertindak di atas aduan oleh wakil Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sedili sebuah bot ronda Maritim Malaysia digerakkan, namun pihaknya sukar untuk mengesan bot Kelas A KTF 5972 itu berikutan tiada maklumat mengenai kedudukan bot itu.

"Walau bagaimanapun tidak lama selepas itu, bot yang membawa enam awak-awak termasuk tekong berumur lingkungan 22 hingga 68 tahun itu berjaya dikesan dengan bantuan bot nelayan yang berada berhampiran kawasan kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Zulfadli berkata, hasil pemeriksaan, bot tersebut hanya mengalami kerosakan enjin dan tidak mengalami kebocoran atau hampir karam seperti yang dilaporkan. - UTUSAN ONLINE