Badan Nasional Penanggula­ngan Bencana (BNPB) Indonesia menyatakan pasukan penyelamat kini berusaha melakukan evakuasi mengeluarkan semua pendaki terbabit dari gunung itu.

Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho berkata, berdasarkan data pihak berkuasa Indonesia, seramai 524 pendaki iaitu 358 daripadanya warga negara luar dan 166 warga Indonesia masih terperangkap di gunung itu selepas kejadian gempa bumi semalam.

“Proses evakuasi mengalami se­dikit kesulitan kerana berlaku runtuhan tanah di akses jalan utama ke gunung itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, operasi untuk mengeluarkan semua pendaki itu disertai pasukan tentera Indonesia, polis dan pasukan perubatan.

Dalam kejadian gempa ber­kekuatan 6.4 Skala Richter di Lombok, Nusa Tenggara Barat semalam itu, seramai 14 mangsa dilaporkan terkorban setakat ini, termasuk seorang warga negara Malaysia, Siti Nur Ismawida Ismail, 30.

Gunung Rinjani, gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu dengan ketinggian 3,726 meter merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong dan pendaki kerana terkenal dengan keindahan semulajadinya.

Gempa bumi kuat wilayah Nusa Tenggara Barat dan Lombok pada pukul 5.47 pagi waktuMalaysia semalam menyebabkan penduduk kawasan itu bertempiaran meninggal kediaman dan bangunan. Setakat ini lebih 1,000 rumah dan bangunan dilaporkan musnah.

Sutopo Purwo berkata, beberapa jaringan telekomunikasi se­perti Indosat dan H3I tidak dapat digunakan di kawasan itu ketika ini berikutan terputusnya bekalan elektrik.

“Pasukan evakuasi memulakan proses menyelamat bermula jam 8 pagi ini,” katanya. – BERNAMA